REKREASI MATEMATIK
Pengenalan
Matematik
adalah satu bidang ilmu yang sangat luas penggunaannya dalam kehidupan.
Matematik dilihat sebagai satu bidang yang mempunyai hubung jalin dengan bidang
yang lain dan sentiasa diaplikasi dalam kehidupan. Kurikulum
Pendidikan Matematik mendefinisikan Matematik sebagai suatu cara berfikir,
kajian tentang pola, kajian perhubungan, suatu seni, suatu bahasa dan sebagai
alat dalam kehidupan seharian. Menurt Carl Friedrich
Gauss, (1856) Matematik ialah permaisuri bagi sains. Ini bermakna Matematik memainkan peranan penting dalam dunia sains.
Namun demikian Matematik merupakan salah satu matapelajaran yang sering dilihat
sebagai subjek yang membosankan serta menyusahkan.
Matematik juga dikenali sebagai satu matapelajaran yang
tidak menarik, kering, sukar dan membosankan jika
dibandingkan dengan mata pelajaran lain seperti bahasa, sastera, latihan
fizikal (Aplin dan Saunders,1996; Lee dan Cockman, 1995). Oleh yang demikian
penyelidik-penyelidik yang telah membuat kajian dalam matapelajaran telah
mengutarakan satu perkara penting iaitu penerapan rekreasi Matematik dalam pengajaran
dan pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran dalam Matematik berbeza dengan
matapelajaran yang lain. Di samping kemahiran mengira yang melibatkan daya
pemikiran dan kreativiti yang tinggi, ianya juga memerlukan kefahaman konsep
dengan tepat dan menyeluruh.
Rekreasi Matematik boleh didefinisikan sebagai satu cara
atau kaedah yang diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya
matapelajaran Matematik menjadi seronok untuk dipelajari. Aplikasi rekreasi Matematik dalam pengajaran dan pembelajaran dapat
meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran Matematik. Selain itu, murid
juga dapat merasai keindahan Matematik, sedar tentang kepentingan Matematik dan
seterusnya membantu mereka menguasai matapelajaran ini dengan lebih baik,
(National Council of Teachers of Mathematics, 1989; Kementerian Pendidikan
Malaysia, 1998).
Rekreasi Matematik akan membantu murid untuk
memahami kepentingan konsep matematik dengan lebih terperinci. Rekreasi
Matematik ini sangat sesuai diaplikasikan dalam kelas pemulihan. Kaedah ini
membantu murid yang menghadapi kesukaran dalam menguasai kemahiran Matematik atau
memahami konsep Matematik. Murid dapat memahami sesuatu konsep dengan mudah dan
senang.
Pengaplikasian rekreasi Matematik dalam
pengajaran dapat mewujudkan suasana yang ceria dalam bilik darjah. Bagi
mewujudkan suasana ceria dalam pembelajaran Matematik, guru harus merancang
aktiviti pembelajaran yang menarik seperti teka-teki, puisi, lagu dan permainan
yang berunsurkan Matematik. Aktiviti pembelajaran yang menarik dapat meningkatkan
minat murid terhadap matapelajaran Matematik. Cara ini juga dapat meningkatkan
keberkesanan sesuatu aktiviti pembelajaran. Objektif pembelajaran yang optimum
dapat dicapai melalui rekreasi Matematik.
Sebagai seorang pendididk yang berdedikasi,
perlu bertanggungjawab untuk memiliki dan mengekalkan ketrampilan dalam
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil kira keperluan
dan tahap pembelajaran murid. Guru perlu mengambil tahu tentang peringkat atau
kebolehan murid dalam pembelajaran dan perlu merancang aktiviti mengikut tahap
pembelajaran murid. Aktiviti pembelajaran yang dirancang tidak harus terlalu
sukar atau terlalu senang. Ini disebabkan kerana murid akan menjadi cepat bosan
jika aktiviti tidak sesuai dengan kebolehan mereka.
Saya telah menghasilkan satu blog yang
bertajuk ‘Rekreasi Matematik’. Saya telah menyertakan permainan-permainan yang
boleh diaplikasikan untuk murid semasa menjalankan proses pengajaran dan
pembelajaran. Saya juga telah menyertakan prosedur menjalankan permainan
tersebut dalam bilik darjah. Antara permainan yang boleh diaplikasikan dalam
bilik darjah ialah Permainan Tangram, Tujuh Bulatan Berjiran, Ghaib Hari Jadi dan ‘Tiga’ Tipu Muslihat Matematik, lagu dan teka-teki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan